NAJIB RAZAK KEKAL HUKUMAN 12 TAHUN PENJARA DAN DENDA 210 JUTA


NAJIB RAZAK KEKAL HUKUMAN 12 TAHUN PENJARA DAN DENDA 210 JUTA |  PUTRAJAYA:Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Selasa (23 Ogos) mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (S$65.3 juta) ke atas Najib Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$13 juta).




Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan CBT kerana penyelewengan masing-masing RM27 juta (S$8.4 juta), RM5 juta (S$1.55 juta) dan RM10 juta (S$3.1 juta) daripada dana SRC.



Najib Razak, 69 tahun, pada 8 Dis 2021 gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.


Selain Tengku Maimun, panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Tengku Abang Iskandar Abang Hashim, serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Mengulas lanjut, Tengku Maimun berkata, panel lima hakim mendapati Hakim Bicara telah melakukan analisa terperinci serta berobjektif terhadap kesemua bukti untuk menyokong keputusan beliau pada akhir kes pendakwaan.

“Kami gagal untuk melihat bagaimana dan di mana dapatan Hakim Bicara yang akhirnya membawa kepada keputusan akhir beliau, bahawa kes prima facie wujud, adalah satu kekhilafan

“Hakim Bicara telah memutuskan dengan tepat kesemua intipati dalam setiap tujuh pertuduhan dipenuhi pada akhir kes pendakwaan. Maka keputusan untuk memanggil perayu membela diri adalah tepat,” katanya lagi.

Selanjutnya Tengku Maimun berkata, panel gagal untuk memutuskan bahawa mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi, seperti yang dikekalkan Mahkamah Rayuan, adalah terkhilaf, sehingga memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan.


“Kami setuju bahawa hujahan pembelaan tidak konsisten sehingga gagal mewujudkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan,” katanya lagi.

Tengku Maimun berkata panel lima hakim bersetuju sabitan ke atas perayu adalah selamat, dan denda serta hukuman yang dikenakan tidak berlebihan.

Dengan itu beliau berkata, permohonan perayu ditolak sebulat suara, dan sabitan serta hukuman disahkan.




KRONOLOGI KES NAJIB RAZAK


3 Julai 2018 - Najib ditahan Pasukan Petugas Khas 1MDB, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, sekitar jam 3 petang dan dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

4 Julai 2018 - Didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd

8 Ogos 2018 - Didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama

10 Ogos 2018 - Mahkamah Tinggi menetapkan 33 hari bermula 12 Februari 2019 bagi perbicaraan

13 Disember 2018 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perintah larangan supaya media dan orang awam tidak membicarakan mengenai merit kesnya



11 Februari 2019 - Mahkamah Rayuan membenarkan Najib untuk menangguhkan perbicaraan

21 Mac 2019 - Mahkamah Rayuan menolak tiga daripada empat rayuan interlokutori Najib, benarkan permohonan tangguhkan bicara

27 Mac 2019 - Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib menangguhkan perbicaraan




28 Mac 2019 - Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan pada 3 April

3 April 2019 - Perbicaraan bermula selama 58 hari

11 November 2019 - Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tuduhan

3 Disember 2019 - Najib membela diri dan 18 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan, prosiding selama 33 hari

11 Mac 2020 - Pembelaan menutup kes

1 Jun 2020 - Hujahan di akhir kes pembelaan selama 5 hari

5 Jun 2020 - Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Julai bagi keputusan

28 Julai 2020 - Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.



19 Oktober 2020 - Najib memfailkan petisyen rayuan mengandungi 307 alasan mengapa beliau sepatutnya dibebaskan daripada tuduhan berkenaan

5 April 2021 - Rayuan Najib mula didengar di Mahkamah Rayuan

18 Mei 2021 - Rayuan Najib selesai didengar di Mahkamah Rayuan selama 15 hari

23 November 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember 2021 bagi keputusan

24 November 2021 - Najib mohon melapangkan tarikh keputusan kerana perlu menjalani kuarantin COVID-19, bagaimanapun ditolak Mahkamah Rayuan

2 Disember 2021 - Najib memfailkan permohonan saat akhir di Mahkamah Rayuan untuk dibenarkan memasukkan bukti baharu dalam rayuan

3 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Disember bagi mendengar permohonan memasukkan bukti baharu

7 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib untuk menangguhkan keputusan rayuan atas alasan beliau dan peguam kontak rapat dan tolak permohonan memasukkan bukti baharu berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low

8 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib

25 Januari 2022 - Najib melalui peguamnya menulis surat kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom

29 April 2022 - Mahkamah Persekutuan menetapkan selama 10 hari bermula 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Najib

7 Jun 20211 - Najib mahu Mahkamah Persekutuan isytihar perbicaraan di Mahkamah Tinggi batal dan tidak sah dan menimbangkan diadakan perbicaraan semula kerana peranan Mohd Nazlan dalam Maybank Investment berkaitan penubuhan SRC

21 Julai 2022 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Queen's Counsel (QC), Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir

25 Julai 2022 - Najib memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam lain serta melantik barisan peguam baharu diketuai Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan M Rueben

29 Julai 2022 - Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan akhir.

Catat Ulasan

0 Ulasan