5 PERKARA YANG PERLU ANDA TAHU SEBELUM MERENTAS SEMPADAN SINGAPURA -MALAYSIA

5 PERKARA YANG PERLU ANDA TAHU SEBELUM MERENTAS SEMPADAN SINGAPURA -MALAYSIA | Mulai 1 April, para pelawat yang sudah lengkap divaksin boleh melakukan perjalanan melalui sempadan darat antara kedua-dua negara menggunakan kenderaan sendiri dan tanpa perlu menjalani sebarang ujian COVID-19 atau kuarantin. 

Pihak berkuasa menjangkakan lonjakan pada jumlah pelawat dan menggesa mereka yang tidak mempunyai sebab mendesak untuk menundakan perjalanan buat masa ini. 



Berikut adalah lima perkara yang perlu anda tahu sekiranya anda merancang untuk melakukan perjalanan. 

BAGAIMANA SAYA BOLEH MERENTAS SEMPADAN DARAT? 

Mulai 1 April, para pelawat yang sudah lengkap divaksin akan dibenarkan merentas sempadan darat untuk memasuki Singapura dan Malaysia dengan menggunakan pengangkutan peribadi 

Mereka boleh memandu kereta mereka atau menunggang motosikal melalui Koswe dan Linkedua buat julung-julung kalinya dalam masa dua tahun. 

Para pelawat boleh memilih untuk menggunakan khidmat bas yang diperuntukkan bagi mereka yang sudah lengkap divaksin, sedang Singapura dan Malaysia berusaha untuk menyambung semula khidmat bas awam rentas sempadan. 

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin, tiada kuota dikenakan bagi semua bentuk pengangkutan dan pusat-pusat pemeriksaan darat akan dibuka 24 jam setiap hari. 



PERLUKAH SAYA MENJALANI SEBARANG UJIAN COVID-19? 

Tidak. Semua pelawat yang sudah lengkap divaksin dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang belum lengkap divaksin tidak lagi perlu menjalani sebarang ujian COVID-19. 

Para pelawat boleh menggunakan Portal Pemeriksaan Vaksinasi di laman web SafeTravel untuk menyerahkan sijil vaksinasi digital mereka sebelum melakukan perjalanan, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura (MTI). 


APAKAH DOKUMEN YANG SAYA PERLUKAN? 

Selain pasport anda, para pelawat yang memasuki Singapura dengan kenderaan yang berdaftar di luar negara harus mempunyai kad Autopass yang sah dan emel kelulusan daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). 

Kad Autopass itu berfungsi sebagai Permit Masuk Kenderaan (VEP) untuk kereta dan motosikal dari luar negara dan digunakan untuk mencatatkan kemasukan kenderaan ke Singapura serta membayar kesemua yuran keluar masuk Singapura.

VEP mempunyai tempoh sah selama 14 hari. 

Permohonan VEP hanya boleh dilakukan online di laman web OneMotoring LTA. Para pelawat harus merancang perjalanan mereka sekurang-kurangnya selama dua minggu lebih awal untuk memberi masa yang cukup untuk proses pendaftaran dan kelulusan VEP. 

Bagi mereka yang mempunyai VEP yang sah, mereka boleh mula merentas sempadan ke Singapura mulai 11.59 malam pada 31 Mac. 

Para pemandu atau penunggang motosikal dari Malaysia yang tidak menunjukkan kad Autopass yang sah bersama dengan emel kelulusan VEP daripada LTA tidak akan dibenarkan memasuki Singapura. 

Selain itu, semua pelawat, termasuk rakyat Singapura, Penduduk Tetap (PR) dan pemegang pas jangka panjang mesti mengisi Kad Ketibaan SG dalam masa tiga hari sebelum tiba di pusat pemeriksaan. 


ADAKAH TIKET BAS VTL SAYA MASIH SAH? 

Ya. Khidmat bas yang diperuntukkan bagi penumpang yang sudah divaksin akan terus beroperasi buat masa ini, memandangkan khidmat bas awam rentas sempadan belum lagi disambung semula. 

Menurut MTI, pihak berkuasa di kedua-dua negara sedang berusaha untuk menyambung semula khidmat bas awam sedemikian secara bertahap-tahap. 



BAGAIMANA PULA BAGI PERJALANAN UDARA? 

Singapura juga mengumumkan pada Khamis (24 Mac) bahawa ia akan membuka semula sempadannya kepada semua pelawat yang sudah lengkap divaksin mulai 1 April, sekali gus menamatkan semua Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) sedia ada dan aturan pembukaan sepihak.

Di bawah rangka kerja ini, kesemua pelawat yang sudah lengkap divaksin dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah boleh memasuki Singapura dengan mengambil ujian COVID-19 sebelum melakukan perjalanan mulai 11.59 malam pada 31 Mac. 

Mereka juga tidak lagi perlu membuat permohonan untuk memasuki Singapura atau menaiki pengangkutan VTL yang diperuntukkan untuk memasuki negara ini tanpa kuarantin. 

Walaupun mereka masih perlu menjalani ujian COVID-19 dalam masa dua hari sebelum berangkat ke Singapura, mereka tidak perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau Ujian Pantas Antigen (ART) tanpa diselia sebaik tiba di Singapura. 

Sebelum pengumuman daripada pihak Singapura, Malaysia mengumumkan terlebih dahulu bahawa ia akan membuka semula sempadan sepenuhnya pada 1 April. 

Warga asing yang memasuki Malaysia dengan dokumen perjalanan yang sah tidak perlu menjalani kuarantin, sekiranya mereka sudah lengkap divaksin. 

Warga asing juga tidak perlu membuat permohonan untuk memasuki Malaysia menggunakan aplikasi MyTravelPass. 

Sebaliknya, mereka hanya perlu memuat turun dan mengaktifkan aplikasi  MySejahtera dan mengisi borang di aplikasi tersebut sebelum berlepas ke Malaysia.

Para pelawat yang memasuki Malaysia daripada Singapura melalui perjalanan udara perlu mengambil ujian ART COVID-19 dua hari sebelum melakukan perjalanan dan bukan lagi ujian tindak balas rantaian polimerase (RT-PCR) yang lebih mahal, seperti yang ditetapkan untuk pelawat yang memasuki negara tersebut melalui skim VTL. 


sumber: Berita Mediacorp singapura

/>

Post a Comment

0 Comments